El Amin - -
Saya rasa tak ada bacaan yang lebih bagus yang mengulas perbandingan di antara distopia 1984 dan Brave New World selain dari buku NEIL POSTMAN yang bertajuk AMUSING OURSELVES TO DEATH: PUBLIC DISCOURSE IN THE AGE OF SHOW BUSINESS.
Diterbitkan pada tahun 1985, buku ini membincangkan pengaruh media - khususnya televisyen - terhadap politik, pendidikan, agama, jurnalisme dan wacana awam. Ia telah menjadi teks klasik dalam bidang komunikasi, media, dan sosiologi budaya.
Cuma berbanding tiga buku tadi, buku Postman ini lebih mudah dihadam kerana gaya bahasanya yang santai, pengolahan isinya kemas dan tak terlalu rumit dengan terma-terma falsafah.
Roger Waters dari kugiran legenda Pink Floyd mengambil inspirasi dari buku ini untuk membikin album solo ketiganya, Amused To Death.
Andrew Postman dalam prakata edisi 2005 menulis buku ini "..adalah sebuah buku untuk abad ke 21 yang diterbitkan pada abad ke 20".
Ia dianggap mendahului zaman (ahead of its time) dan 'prophetic' kerana pada tahun 1985, belum ramai yang nampak tentang bahaya media massa terhadap demokrasi dan pemikiran awam.
Ketika ia ditulis, ramai yang berpendapat Postman terlalu pesimis dan elitis dalam menanggapi teknologi. Tuduhan klise yang sama dilemparkan kepada The Society of the Spectacle dan Dialectic of Enlightenment.
Hari ini selepas 40 tahun, televisyen bukan lagi medium yang mendominasi (malah kandungannya tidak lagi berfungsi seperti tahun 80an). Namun dengan kemunculan telefon pintar, lambakan media sosial, kecanggihan algoritma, budaya 'infotainment, edutainment', dengan segalanya berkisarkan clicks, views, likes, follows dan ratings - ramalan Postman lebih relevan sekarang berbanding sewaktu buku itu diterbitkan pada tahun 1985.
Apa tesis utama buku ini?
Postman menegaskan bahawa cara utama sesebuah masyarakat berkomunikasi membentuk cara masyarakat itu berfikir dan memahami realiti. Postman membandingkan dua jenis budaya komunikasi dalam masyarakat.
1] Budaya cetakan - yang berdasarkan tipografi (tulisan dan bacaan), dan
2] Budaya televisyen - yang berdasarkan imejan visual dan hiburan.
Menurut Postman, peralihan daripada budaya cetakan kepada budaya televisyen telah mengubah secara mendasar cara kita berfikir dan berdiskusi tentang isu-isu penting seperti politik, pendidikan dan agama.
Peralihan ini bukan sekadar peralihan medium atau format tapi juga peralihan epistemologi, tentang bagaimana kita mengetahui, memahami, dan mentafsirkan kebenaran serta menanggapi realiti.
Televisyen bukan sahaja menyalurkan maklumat tapi ia turut membentuk cara kita memahami maklumat itu. Masyarakat yang berasaskan literasi cetakan mendorong kepada pemikiran linear, logik, reflektif, dan berstruktur. Sebaliknya, televisyen menggalakkan persepsi yang dangkal, perca-perca maklumat yang berserakan, bersifat segera dan sensasi.
Televisyen telah mengubah wacana awam menjadi industri hiburan (show business).
Melalui televisyen, politik menjadi seni pertunjukan dan penampilan imej berbanding kompetensi dan integriti (seperti debat politik yang menumpu pada gaya, bukan isi). Program keagamaan dibungkus dalam pakej seni persembahan dan pengisian yang bersifat kosmetik, dengan visual dramatik dan muzik latar. Hasilnya penghayatan spiritual menjadi kering, sementara orang-orang agama bertukar menjadi selebriti.
Dalam bidang pendidikan, sekolah cuba menarik minat pelajar dengan cara hiburan, bukannya mencabar intelek mereka. Postman berhujah bahawa pengajaran harus mencabar minda pelajar. Ia perlu membangkitkan persoalan, mengetuk pintu fikiran, memperkembangkan pemikiran kritis dan tidak semestinya sentiasa menyenangkan.
Postman memberi amaran bahawa apabila sesebuah masyarakat memuja hiburan, wacana awam akan menjadi cetek, manipulatif dan tidak lagi mampu memupuk pemikiran kritikal.
Apabila menyentuh fiksyen distopia, novel 1984 oleh Orwell selalu diperkatakan. Namun Postman percaya realiti Amerika (dan dunia moden) lebih mendekati ramalan Huxley berbanding Orwell. Kedua-dua novel tersebut menggambarkan masa depan yang suram, tetapi dengan pendekatan yang amat berbeza.
George Orwell menggambarkan distopia yang digerakkan oleh kekerasan dan penindasan melalui kawalan autoritarian. Dalam 1984, kerajaan totalitarian yang dikenali sebagai Big Brother menggunakan pengawasan, penapisan, manipulasi bahasa, dan kekerasan fizikal untuk menundukkan rakyat.
Sebaliknya, Huxley dalam Brave New World membayangkan masa depan di mana penindasan berlaku melalui hiburan, hedonisme, dan ketundukan secara sukarela. Dalam dunia Huxley, manusia tidak dipaksa untuk menyerah, sebaliknya mereka bersedia melupakan kebebasan mereka kerana mereka terlalu disibukkan dengan hiburan. Mereka ditundukkan bukan dengan kekerasan tetapi diperbodohkan oleh keseronokan, hiburan dan lambakan maklumat yang trivial dan tak penting.
Dengan kemunculan televisyen dan budaya hiburan massa, masyarakat moden semakin menyerupai distopia Huxley - satu dunia di mana orang tidak lagi membaca, tidak lagi peduli tentang fakta, dan tidak lagi berusaha untuk mendapatkan kebenaran yang kompleks, kerana semuanya telah disalut dengan hiburan.
Postman menulis:
"𝘛𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘵𝘦𝘳𝘭𝘶𝘱𝘢 𝘴𝘦𝘭𝘢𝘪𝘯 𝘷𝘪𝘴𝘪 𝘨𝘦𝘭𝘢𝘱 𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭, 𝘢𝘥𝘢 𝘴𝘢𝘵𝘶 𝘭𝘢𝘨𝘪 - 𝘴𝘦𝘥𝘪𝘬𝘪𝘵 𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘭𝘢𝘮𝘢, 𝘴𝘦𝘥𝘪𝘬𝘪𝘵 𝘬𝘶𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘬𝘦𝘯𝘢𝘭𝘪, 𝘯𝘢𝘮𝘶𝘯 𝘴𝘢𝘮𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘳𝘢𝘮𝘬𝘢𝘯: 𝘉𝘳𝘢𝘷𝘦 𝘕𝘦𝘸 𝘞𝘰𝘳𝘭𝘥 𝘬𝘢𝘳𝘺𝘢 𝘈𝘭𝘥𝘰𝘶𝘴 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺.
𝘉𝘦𝘳𝘵𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘦𝘳𝘤𝘢𝘺𝘢𝘢𝘯 𝘶𝘮𝘶𝘮, 𝘮𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘨𝘰𝘭𝘰𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘵𝘦𝘳𝘱𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳, 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘥𝘢𝘯 𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘴𝘦𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳𝘯𝘺𝘢 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘭𝘬𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘢𝘮𝘢.
𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘦𝘳𝘪 𝘢𝘮𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘸𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘵𝘶𝘯𝘥𝘶𝘬𝘬𝘢𝘯 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘱𝘦𝘯𝘪𝘯𝘥𝘢𝘴𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘬𝘦𝘯𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘳𝘪 𝘭𝘶𝘢𝘳. 𝘕𝘢𝘮𝘶𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘶𝘳𝘶𝘵 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺, 𝘉𝘪𝘨 𝘉𝘳𝘰𝘵𝘩𝘦𝘳 𝘵𝘢𝘬 𝘥𝘪𝘱𝘦𝘳𝘭𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘳𝘢𝘮𝘱𝘢𝘴 𝘢𝘶𝘵𝘰𝘯𝘰𝘮𝘪, 𝘬𝘦𝘮𝘢𝘵𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯, 𝘥𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘫𝘢𝘳𝘢𝘩 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢. 𝘔𝘦𝘯𝘶𝘳𝘶𝘵𝘯𝘺𝘢, 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳 𝘮𝘦𝘯𝘤𝘪𝘯𝘵𝘢𝘪 𝘱𝘦𝘯𝘪𝘯𝘥𝘢𝘴𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘥𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘮𝘶𝘫𝘢 𝘵𝘦𝘬𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘭𝘦𝘮𝘢𝘩𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘶𝘱𝘢𝘺𝘢𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘣𝘦𝘳𝘧𝘪𝘬𝘪𝘳.
𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘵𝘢𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘢𝘳𝘢𝘮𝘬𝘢𝘯 𝘣𝘶𝘬𝘶. 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘮𝘦𝘭𝘪𝘩𝘢𝘵 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘸𝘢 𝘵𝘪𝘢𝘥𝘢 𝘭𝘢𝘨𝘪 𝘬𝘦𝘱𝘦𝘳𝘭𝘶𝘢𝘯 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘢𝘳𝘢𝘮𝘬𝘢𝘯 𝘣𝘶𝘬𝘶, 𝘬𝘦𝘳𝘢𝘯𝘢 𝘵𝘪𝘢𝘥𝘢 𝘴𝘪𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘪𝘯𝘨𝘪𝘯 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘢𝘤𝘢𝘯𝘺𝘢.
𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘵𝘢𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘩𝘢𝘭𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘢𝘬𝘭𝘶𝘮𝘢𝘵. 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘵𝘢𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘣𝘢𝘯𝘫𝘪𝘳𝘪 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘵𝘦𝘳𝘭𝘢𝘭𝘶 𝘣𝘢𝘯𝘺𝘢𝘬 𝘮𝘢𝘬𝘭𝘶𝘮𝘢𝘵 𝘴𝘦𝘩𝘪𝘯𝘨𝘨𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘱𝘢𝘴𝘪𝘧 𝘥𝘢𝘯 𝘴𝘰𝘮𝘣𝘰𝘯𝘨 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵 𝘴𝘦𝘯𝘥𝘪𝘳𝘪. .
𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘣𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘴𝘦𝘮𝘣𝘶𝘯𝘺𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢. 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘣𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘵𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘭𝘢𝘮𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘬𝘦𝘣𝘢𝘯𝘫𝘪𝘳𝘢𝘯 𝘩𝘢𝘭-𝘩𝘢𝘭 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘳𝘦𝘭𝘦𝘷𝘢𝘯.
𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘵𝘢𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘣𝘶𝘥𝘢𝘺𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘵𝘢𝘸𝘢𝘯. 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘵𝘢𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘣𝘶𝘥𝘢𝘺𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘳𝘦𝘮𝘦𝘩, 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘵𝘦𝘳𝘭𝘢𝘭𝘶 𝘴𝘪𝘣𝘶𝘬 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢-𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢 𝘴𝘦𝘱𝘦𝘳𝘵𝘪 𝘧𝘦𝘦𝘭𝘪𝘦𝘴, 𝘰𝘳𝘨𝘺 𝘱𝘰𝘳𝘨𝘺, 𝘥𝘢𝘯 𝘤𝘦𝘯𝘵𝘳𝘪𝘧𝘶𝘨𝘢𝘭 𝘣𝘶𝘮𝘣𝘭𝘦𝘱𝘶𝘱𝘱𝘺.
𝘚𝘦𝘱𝘦𝘳𝘵𝘪 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘴𝘦𝘣𝘶𝘵 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘉𝘳𝘢𝘷𝘦 𝘕𝘦𝘸 𝘞𝘰𝘳𝘭𝘥 𝘙𝘦𝘷𝘪𝘴𝘪𝘵𝘦𝘥, 𝘱𝘢𝘳𝘢 𝘱𝘦𝘫𝘶𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴𝘢𝘯 𝘴𝘪𝘷𝘪𝘭 𝘥𝘢𝘯 𝘳𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘯𝘵𝘪𝘢𝘴𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘦𝘥𝘪𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘻𝘢𝘭𝘪𝘮𝘢𝘯 "𝘨𝘢𝘨𝘢𝘭 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘮𝘣𝘪𝘭 𝘬𝘪𝘳𝘢 𝘯𝘢𝘧𝘴𝘶 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘩𝘢𝘮𝘱𝘪𝘳 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘵𝘦𝘳𝘣𝘢𝘵𝘢𝘴 𝘵𝘦𝘳𝘩𝘢𝘥𝘢𝘱 𝘩𝘪𝘣𝘶𝘳𝘢𝘯."
𝘋𝘢𝘭𝘢𝘮 1984, 𝘬𝘢𝘵𝘢 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺, 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘥𝘪𝘬𝘢𝘸𝘢𝘭 𝘮𝘦𝘭𝘢𝘭𝘶𝘪 𝘱𝘦𝘯𝘥𝘦𝘳𝘪𝘵𝘢𝘢𝘯. 𝘋𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘉𝘳𝘢𝘷𝘦 𝘕𝘦𝘸 𝘞𝘰𝘳𝘭𝘥, 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘥𝘪𝘬𝘢𝘸𝘢𝘭 𝘮𝘦𝘭𝘢𝘭𝘶𝘪 𝘬𝘦𝘯𝘪𝘬𝘮𝘢𝘵𝘢𝘯.
𝘙𝘪𝘯𝘨𝘬𝘢𝘴𝘯𝘺𝘢, 𝘖𝘳𝘸𝘦𝘭𝘭 𝘣𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘣𝘦𝘯𝘤𝘪 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘢𝘯𝘤𝘶𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘪𝘵𝘢. 𝘏𝘶𝘹𝘭𝘦𝘺 𝘣𝘪𝘮𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘳𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘳𝘰𝘯𝘰𝘬𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘢𝘯𝘤𝘶𝘳𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘪𝘵𝘢."