BUku

 Apa beza antara 'bibliophilia' (cinta buku) dan 'bibliomania' (gila buku)?

Dalam buku A Gentle Madness: Bibliophiles, Bibliomanes And The Eternal Passion Of Books, Nicholas A. Basbanes memetik kata-kata dari Hanns Bohatta: "The bibliophile is the master of his books, the bibliomaniac their slave".
Tom Raabe dalam Biblioholism: A Literary Addiction menjelaskan yang dua kelompok ini berbeza dari sudut motivasi terhadap buku. 'Bibliophile' mahu meraih ilmu dan makna dari buku dengan membacanya, manakala 'bibliomaniac' pula mahu menimbun buku sebanyak mungkin tanpa membacanya.
Yang pertama melihat buku sebagai wasilah (nikmatnya pada membaca), yang kedua melihat buku sebagai matlamat (nikmatnya ketika membeli).
Walaupun begitu, Basbanes dan Raabe bersetuju yang garis pemisah antara 'cinta buku' dan 'gila buku' tak pernah jelas.
'Bibliophile' boleh saja bermutasi ke tahap ekstrem menjadi 'bibliomaniac'. Tak ada siapa tahu bila 'bibliophile' berakhir dan 'bibliomaniac' bermula. Belum ada 'bibliometer' untuk menyukat tahap ketagihan (dan kewarasan) setiap peminat buku.
Tak lama dulu muncul istilah yang diimport dari Jepun, 'tsundoku'. Kalau 'bibliophile' ialah pembaca yang tegar, 'bibliomaniac' ialah pengumpul yang obsesif-kompulsif, 'tsundoku' pula disebut sebagai kelompok moderat yang terbelah di antara dua kelompok awal tadi. 'Tsundoku' ialah mereka yang beli buku dengan niat untuk baca tapi akhirnya terus menimbun buku tanpa henti.
Kebelakangan ini konsep 'antilibrary' yang dicetuskan oleh Nassim Nicholas Taleb pula jadi 'trendy'. Bukan saja ditularkan oleh peminat buku dan kedai buku, malah di luar negara, kedai perabot dan syarikat home-decor turut mempromosikan 'antilibrary'.
Dalam buku The Black Swan: The Impact of The Highly Improbable, Nassim Nicholas Taleb tulis yang 'antilibrary' ialah koleksi buku milik kita yang belum dibaca. Jelas Taleb, buku yang belum dibaca lebih bernilai dari buku yang telah dibaca kerana 'antilibrary' adalah apresiasi terhadap perkara yang kita tak tahu.
Taleb sarankan supaya kita beli buku sebanyak yang kita mampu. Tak ada masalah dengan lambakan buku yang belum dibaca kerana 'antilibrary' boleh mengingatkan kita masih banyak perkara yang perlu kita pelajari. Pada masa yang sama 'antilibrary' mengajak kita jadi 'antischolar', orang yang menghargai buku yang belum dibaca dan tak besar kepala dengan ilmu yang dia ada.
'Antilibrary' buat ramai peminat buku (termasuk saya) menarik nafas lega sebab ia beri justifikasi untuk kita terus membeli buku tanpa membacanya. Ia ibarat 'defence mechanism' (atau 'rationalization') yang menebus rasa bersalah kita apabila merenung deretan buku yang kita tak pernah baca.
Saya faham yang 'antilibrary' ini konsep yang terawang-awang sahaja. Tak sampai satu halaman muka surat Taleb huraikan konsep ini dalam bukunya. Walaupun demikian, bagi saya 'antilibrary' sebuah konsep yang mengundang kekeliruan dalam kita menanggapi buku.
Yang paling utama, 'antilibrary' kerap dikaitkan dengan Umberto Eco dan perpustakaan peribadinya. Sampaikan saya pernah baca artikel yang mengatakan Umberto Eco adalah orang yang mencipta istilah 'antilibrary'.
Sebenarnya Taleb sekadar petik nama Umberto Eco untuk menyokong konsep 'antilibrary'. 'Antilibrary' pula Taleb gunakan sebagai analogi kepada tesis utama buku The Black Swan, yakni apa yang kita tak tahu lebih penting dari apa yang kita tahu.
Secara umum analogi ini memang nampak bagus. Tapi analogi itu berbeza konteksnya dan menyebabkan berlakunya 'oversimplification' pada apa yang Taleb cuba sampaikan tentang fungsi buku dan sifat perpustakaan. Fungsi buku adalah untuk dibaca, dan sifat perpustakaan (tanpa kita namakan 'antilibrary' sekali pun) memang akan sentiasa menyimpan buku yang belum dibaca.
Taleb petik perihal Eco dan perpustakaannya melalui anekdot yang ditulis oleh Eco sendiri bertajuk 'How To Justify A Private Library'. Dalam esei ini, Eco tulis ramai tetamu yang berkunjung ke rumah beliau akan bertanya adakah beliau telah baca semua 30,000 buku dalam perpustakaannya*.
Eco menjelaskan ini satu perspektif yang songsang dalam menanggapi perpustakaan atau rak buku, kerana kedua-duanya bukan sekadar tempat menyimpan buku yang telah dibaca, tapi juga sebagai 'working tool' yang akan terus menerus digunakan (kerana beliau seorang ilmuwan dan pensyarah).
Dalam esei tersebut, Eco tak pernah tulis tentang 'antilibrary', 'antischolar' atau "buku yang telah dibaca jauh lebih rendah nilainya berbanding buku yang belum dibaca".
Pembahagian buku kepada dua: telah baca / belum baca pun kurang tepat. Apatah lagi untuk meletakkan nilai sesebuah buku berdasarkan pembahagian binari begitu.
Kalau pun buku mahu dinilai dengan pembahagian seperti itu, ada satu kategori buku yang perlu dimasukkan - selain telah baca / belum baca - yakni buku yang diulang baca.
Ada buku yang kita ulang baca dari kulit ke kulit, ada buku yang kita ulang baca pada bab atau bahagian tertentu saja, ada buku yang makin dibaca makin membuka selubung yang menutup akal kita, ada buku hanya jadi rujukan untuk selesaikan masalah tertentu, ada buku yang dulu sampah tapi sekarang membawa perspektif baru untuk kita.
Ini sekaligus membatalkan dakwaan bahawa "buku yang telah dibaca jauh lebih rendah nilainya berbanding buku yang belum dibaca".
Tapi semuanya harus bermula dengan BACA buku, bukan KUMPUL buku. Melainkan anda menganggap diri anda kolektor sejati (yang membeli buku bukan untuk dibaca), itu jadi cerita lain.
Konsep 'antilibrary' cenderung menyempitkan fungsi buku dari sudut mengumpul, bukan membacanya.
Memang secara umumnya 'antilibrary' (dengan slogan 'buku yang telah dibaca jauh lebih rendah nilainya berbanding buku yang belum dibaca') mirip psikopatologi seorang pengumpul yang obsesif, yang sentiasa melihat apa yang dia belum miliki lebih berharga dari apa yang dia sudah miliki, dengan kegilaan untuk terus mencari dan membeli sebanyak mungkin.
Sedangkan Taleb juga yang tulis bahawa "....the MORE YOU KNOW, the larger the rows of unread books".
Jadi seharusnya ia bermula dengan apa yang kita tahu, atau dalam konteks ini apa yang telah dibaca. Situasi 'sedar diri' ini harus bermula bukan dengan banyak mengumpul buku, tapi dengan banyak membaca buku (dengan ragam membaca yang pelbagai tentunya).
Semakin banyak kita baca, semakin kita sedar masih banyak yang kita tak tahu (seterusnya semakin ghairah kita beli buku untuk puaskan daya akal kita). Walaupun KUMPUL dan BACA boleh berjalan serentak, prioriti utama ialah pada membaca.
Kalau dianjakkan kepada parameter yang lebih besar, internet juga boleh dinisbahkan sebagai 'antilibrary', dengan capaian maklumat dan ilmu pengetahuan yang maha luas. Walaupun begitu, berapa banyak pengguna internet yang 'sedar diri' dengan kejahilan mereka, dan berapa banyak pula yang perasan mereka tahu semua perkara dalam dunia ini.
Cuba bayangkan 2 situasi ini:
(1) Apabila terpandang timbunan buku yang belum dibaca, saya merasa diri ini jahil kerana ada banyak perkara yang belum saya ketahui, oleh sebab itu saya buat keputusan untuk lebih banyak mengumpul buku.
Atau
(2) Apabila terpandang timbunan buku yang belum dibaca, saya merasa diri ini jahil kerana ada banyak perkara yang belum saya ketahui, oleh sebab itu saya buat keputusan untuk lebih banyak membaca buku.
Situasi mana yang lebih masuk akal, jika kita mahu mengaitkan buku dengan ilmu pengetahuan?
Kumpul buku bukan bermaksud kumpul ilmu, sama seperti kumpul setem bukan bermaksud pengumpulnya banyak menulis surat. Umberto Eco pasti tak setuju kalau kita sifatkan tujuan dia menyimpan 30,000 buku di perpustakaannya adalah supaya dia merasa takjub dengan kejahilan sendiri.
'Antilibrary' memungkinkan kita terjerumus ke dalam kondisi psikologi yang Slavoj Zizek namakan sebagai 'interpassivity', lawan kepada 'interactivity'. 'Interpassivity' beri kesedaran palsu yang kita ialah subjek yang aktif dalam aktiviti tertentu (dalam hal ini membeli dan mengumpul buku), sedangkan kita sebenarnya subjek yang pasif apabila hanya memiliki lembaran kertas bercetak yang kita tak manfaatkan sepenuhnya.
Apabila kita kumpul buku dan koleksi buku kita semakin besar, kita semakin kurang baca buku. Walaupun kita tak baca, tapi koleksi buku yang tersusun di rak buku kita memberi satu kepuasan, seolah-olah rak buku itu sendiri akan membaca buku bagi pihak kita. Rak buku menjadi proksi kita, melepaskan kita dari beban untuk membaca koleksi buku yang kita miliki.
Ironi sebenarnya apabila Umberto Eco lebih awal dari Zizek pernah tulis tentang kondisi yang hampir sama dengan 'interpassivity'. Eco dalam bukunya How To Write A Thesis pernah memberi amaran tentang bahaya "the alibi of photocopies". Situasi ini berlaku apabila pelajar yang sedang menyiapkan tesis berlumba-lumba fotostat buku atau jurnal dari perpustakaan tapi tak baca salinan yang mereka buat.
Tulis Eco, "...the manual labor he exercises in doing so gives him the impression that he possesses the work. Owning the photocopies exempts the student from actually reading them."
Eco secara sinis panggil ia sebagai "neocapitalism of information".
Buku yang tak dibaca jadi bernilai bukan kerana ia mengingatkan yang kita masih jahil dalam banyak perkara, sebaliknya buku yang tidak dibaca jadi bernilai bila ia merangsang kita untuk membacanya. Kerana di situlah letaknya martabat sebuah buku. Apabila ia dibaca.
Tulis Umberto Eco: "You respect books by using them, not leaving them alone".
_______________________________________________
*Saya tak pasti manusia spesis apa yang tergamak tanya soalan ini kepada Umberto Eco. Eco memang kolektor buku. Setelah kematiannya, kerajaan Itali telah mewartakan perpustakaan beliau sebagai warisan negara. Tapi jangan lupa dia juga seorang 'polymath'. Saya rasa tak ada siapa berani pertikaikan kalau dia tipu dan beritahu yang dia sudah baca semua 30,000 buku dalam perpustakaannya.

Popular posts from this blog

sepi